Kesian nama aku. Tak pasal-pasal sinonim dengan perempuan perampas. Siapalah yang tak pandai tulis skrip tu? Husna maksudnya baik, ahsan. Asma' ul husna. Nama-nama yang baik. Tiba-tiba dituduh perampas yang hampeh. Eeeee suka hati kau je
Namun, memang ada cerita dalam hidup aku yang seolah-olah sedang mendorong aku untuk menjadi seorang perampas. Cerita macam asalnya biasa-biasa tapi sekarang macam menjadi seperti ditulis-tulis pulak. Puaslah aku menolak jalan cerita ini sampai renggang hampir nak putus lah hubungan yang ada tapi tak putus lagi nampaknya. Biar aku mula dari awal.
Aku bersahabat baik dengan seorang lelaki sejak tahun pertama di kampus pengajian tinggi. Orangnya pun bolehla tahan tinggi. Aku pun tinggi jadi nak jumpa lelaki yang lebih tinggi dari aku ni susah. Masa awal-awal kenal (sebab satu kelas) dulu sebelum rapat, ada juga aku tertaruh hati kepada dia. Tapi dengan cepatnya dia berkasih dengan seorang gadis tempatan (haha tempatan katanya. Orang kampung dekat kampus kami itulah) lalu aku tidak lagi berharap apa-apa. Tapi selepas aku tidak berharap lagi, kami jadi lebih rapat berkawan. Sungguh aku tak rasa apa-apa dah kepada dia, yang tinggal hanya seronok berbual dengan dia sebab bahasa Inggerisnya fasih. Itu sahaja.
Tahun berganti tahun, tamatlah pengajian kami. Dia pun memutuskan untuk bertunang dengan kekasihnya. Aku ucapkan tahniah begitu sahaja. Aku harap untuk terus bersahabat dengan dia namun biarlah dari kejauhan sahaja kerana bak kata Flop Poppy;
Kini aku
Telah berpunya
Masa depan yang tak kita duga
Ku tahu kau masih mengharap jua
Tapi ku tak tak bisa meninggalkannya
(Aku suka lagu ni jadi aku imagine macam Flop Poppy nyanyi untuk untuk aku la)
Namun takdir Allah itu kata ada lagi cerita aku dengan dia yang tak habis lagi.
Aku dan lelaki itu dihantar bertugas ke selatan tanah air ini. Lalu pernahlah beberapa kali kami keluar bersama. Pernah juga ada rakan yang lain ikut bersama tapi tak lama kemudian rakan kami yang lain itu tidak mahu lagi keluar bersama kami, katanya tak elok keluar dengan tunangan orang (rakan aku seorang lagi ni mestilah perempuan. Kalau lelaki tak timbul masalah tunang orang ini apa semua). Tapi lelaki ini tidak jugak jemu-jemu mengajak aku keluar sampai tahap dia sanggup menjemput menghantar aku ke pintu rumah sewa.
Dia pernah buat igstory sewaktu keluar dengan aku lalu bergaduhlah mereka tunang anak-beranak. Berhenti sekejap lelaki ini menghubungi aku. Tetapi tak lama kemudian kembali menghubungi tapi dia dah tak sanggup menjemput menghantar aku lagi kerana kes bergaduh tempoh hari.
Aku katakan kepada dia;
"Lepas kau kahwin kita tak boleh jumpa macam ni lagi. Kau dah jadi suami orang."
"Ya, aku tahu," balasnya.
Lalu hari berkahwin dia pun tiba. Cantik sangat isterinya. Kalau nak banding dengan aku ni macam langit dan bumilah, aku bagitahu awal-awal. Padanlah dengan dia pun ada rupa. Bagai pinang dibelah dua mereka.
Lelaki ini sangat mendesak aku datang ke majlis kahwinnya. Katanya aku ini macam pengapit dialah, tak lengkap kalau aku tak datang. Tapi aku tak memenuhi jemputannya kerana aku tak rasa isterinya mahu aku di majlis mereka. Logiklah, kau nak ke kawan baik suami kau yang berlainan jantina yang sama-sama kerja dengan suami kau di tempat yang jauh dari kau, datang majlis kahwin kau? Tak perlu kot aku nak merebut perhatian suami dia macam tu, kalau kawan perempuan memang aku datang. Nak tunjuk muka dekat perampas best friend aku (crying emoji).
Selepas mereka berkahwin, berhenti sekejap lelaki ini daripada menghubungi aku. Tetapi selepas isteri dia balik ke kampung (mereka pjj), dia kembali mengajak aku keluar. Sebelum kau fikir yang bukan-bukan, aku tak pernah buat yang bukan-bukan dengan dia. Sentuh kulit dengan sengaja pun tak pernah. Aku dengan dia di sini jelas dengan perasaan masing-masing; aku tak ada hati kat dia dan dia tak ada hati kat aku. Obviously, dia dah kahwin dengan orang lain. Kami keluar buat aktiviti memang macam orang keluar dating yang tu aku akui; makan, tengok movie, jalan-jalan pusing mall. Tapi bukan dating. Tak ada sembang hati ke hati ke jiwang-jiwang ke tak ada. Aku assume itu lah aktiviti orang keluar dating. Aku tak pernah dating. Tak ada orang nak. See?
Sampai akhirnya, isteri dia tahu yang kami masih keluar walaupun mereka telah berumah tangga. Bergaduhlah lagi mereka anak-beranak walaupun isterinya belum mengandung lagi. Dia juga marah-marah kepada aku, katanya aku bercerita kepada orang tentang aktiviti kami keluar bersama. Lalu aku berfikir, apa salahnya aku cerita kepada orang? Kami cuma berkawan. Eh benak juga aku kadang-kadang. Aku tak faham kenapa dia marah-marah kerana aku tidak ada hati-hati untuk aku jaga. Aku pun memang tak ada hati kepada dia. Eh nak marah-marah pulak. Dah tak payah kawan dah. Dia pun left group wasap kelas kami di kampus dulu dan block aku di Instagram. Adui la lucu lelaki ini.
Membawa kisah ke tahun ini. Awal tahun ini, ada ibu seorang lelaki ini approach aku dengan niat untuk memperkenalkan aku dengan anak terunanya yang sibuk bekerja seperti tiada hari esok. Eh membunga juga perasaan aku bawak berbulan-bulan juga menyimpan harapan kepada anak terunanya itu. Lalu semakin aku menjauhkan diri daripada lelaki yang pertama tadi kerana memberi perhatian kepada anak orang lain ini. Namun, kisah bersama anak orang lain ini hanya sampai ke tengah hari sahaja kerana hujan turun. Murung la sebentar aku selama berbulan-bulan kemudian.
Tak lama selepas itu, pertengahan tahun ini aku bertemu dengan lelaki tadi di suatu kursus sementelah kami memang bertugas di daerah yang sama. Bertemu membawa kepada keluar minum petang selepas kursus itu barang setengah jam. Memang aku susah nak menolak ajakan dia kerana aku memang mahu bersembang dengan dia. Dia tahu kelemahan aku di situ. Tetapi selepas pertemuan lepas kursus itu, aku tidak lagi keluar bertemu dengannya walaupun pernah lagi mungkin dia mengajak. Aku juga masih murung dan kakak iparku ada bersamaku di selatan ini. Tidak sanggup tinggalkan kakak ipar di rumah dengan anak-anak saudara, tambahan pula abangku cuma selang beberapa hari pulang ke rumah kerana kerjanya yang sibuk.
Beberapa bulan seterusnya kami sama-sama sibuk menghadapi kerja. Sehingga akhirnya minggu lalu lelaki itu menghubungi aku atas urusan kerja juga. Aku berasa agak lapang apabila panggilannya itu sebenarnya atas urusan kerja. Tetapi kelapanganku juga cuma sehingga tengah hari apabila dia mengajakku keluar. Aku, yang kadang murung kadang gembira ini tidak berfikir panjang dan bersetuju untuk keluar lagi bersamanya. Tambahan pula kakak iparku pulang ke kampung sudah beberapa bulan, meninggalkan aku sendirian di rumah sewa. Namun rancangan kami untuk keluar tidak kesampaian esoknya kerana aku terpaksa menghadiri mesyuarat. Aku mohon maaf kepada dia dan cancel sahaja rancangan kami tanpa ada rancangan lain. Dua hari kemudian, dia mengajakku keluar sekali lagi namun kali ini juga aku menolak dengan alasan aku sudah sampai di rumah. Walaupun begitu, lelaki ini tidak mudah erti putus asa dan tiga hari kemudian, menuntut lagi aku keluar dengannya. Katanya aku sudah dua kali menolak dan dia tidak akan menerima apa-apa lagi alasanku.
Tetapi aku tetap beralasan. Sudah malam-malam aku tidak berani lagi untuk keluar. Lalu, walaupun dia seperti sedih, menerima alasanku dan meletakkan panggilan telefon.
Sekarang ini, siapa yang nak jadi Husna?
Update :
Lelaki itu sudah dapat bertukar ke tempat yang lebih dekat dengan isterinya. Alhamdulillah. Barangkali persahabatan kami juga akan semakin renggang. Tak mengapalah. Cukup sudah memori bersama dahulu untuk aku kenang. Aku tak perlu berebut suami orang. Dia pun sudah tak lama lagi hendak jadi ayah orang pula. Syukurlah. Ada pengakhiran yang baik untuk cerita ini. Sekian.