Saturday, January 2, 2010

Si Pelari Layang-layang



Hmmm... apa yang boleh aku katakan lagi? Sebuah cereka yang mengagumkan dan memukau lantas aku tidak akan berlaku adil (do it justice) jika aku cuba mengkelaskannya bersama novel-novel lain yang pernah aku baca. Aku suka sekali memberi 'rating' kepada perkara-perkara dalam jenis yang sama yang akan menentukan kedudukan mereka di hatiku. Lalu, sukar untuk aku membuat penilaian apabila muncul sesuatu yang 'outstanding' sedangkan mereka bertanding dengan golongan yang tidak setaraf. Seperti Tom Yum Kung di Secret Recipe. Berada di kelasnya yang tersendiri. Tidak dibenarkan bertanding kerana kesedapannya mencapai tahap yang berbeza, jika tidak lebih tinggi.

Begitulah halnya dengan buku dan aku tidak kejam untuk meletakkan mereka yang tidak setaraf untuk bersama berpeluh dengan golongan bawahan seperti Rose DeWitt Bukater yang menyanggupi itu demi seorang Jack Dawson. Walaupun ini tidaklah bermaksud aku menyokong sistem kasta. Namun dalam menilai, umpama membandingkan mawar hidup, mawar plastik dan mawar sabun. Eloklah dibandingkan cuma mawar plastik dan mawar sabun sahaja kerana mawar hidup teramat unggul.

The Kite Runner juga mengandungi persoalan perbezaan taraf manusia. Seperti mana Ali pernah menjadi orang gaji Baba, seperti itulah anak Ali, Hassan akan menjadi orang gaji kepada anak Baba, Amir. Namun, taraf mereka serasa-rasa lebih rendah daripada orang gaji. Seperti hamba sahaja layaknya. Amir sendiri mengakui dalam rasa hatinya yang paling sunyi, Hassan tidak terasa seperti sahabat. Dia tinggalkan Hassan apabila dia berteman, mencari kembali tatkala kesunyian. Dan Hassanlah yang sangat setia menunggu Amir, tanpa prasangka atau prejudis. Hassan tahu tempatnya di rumah besar Wazir Akbar Khan itu. Dia rendah diri dan hormat akan Amir sampai bila-bila. Hanya kerana dia lahir sebagai seorang Hazara.

Tidak mahu menjadi 'spoiler' kepada mereka yang belum membaca kisah cinta, penipuan dan tragedi ini dan kepada yang sudah membacanya, moga-moga dunia masih ada manusia seperti Hassan dan Amir. Terkejut? Amir tidak layak untuk penghargaan seperti itu? Tetapi dia masih manusia. Manusia tidak lari daripada membuat kesilapan.

Quote;
"For you, a thousand times over!"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...