Tuesday, February 24, 2009

Kualaku, tidak kukenal


Setelah diizinkan ayah bonda, 20/02/09 yang lalu berangkatlah aku ke Kuala Terengganu untuk melawat Edu-Fair yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Sultan Mizan, UMT (terima kasih, UMT). Malang sekali apabila aku terlalu asyik mendengar ceramah oleh pihak-pihak atasan UTP, Alam dan sebagainya yang bernaung di bawah nama Petronas dan menjamu mata dengan pameran-pameran pelbagai booth dari uni2 seluruh Malaysia, aku tidak terfikir untuk mengambil gambar pada pameran yang menarik itu. Apabila telah keluar dari kawasan UMT, selesai bertukar baju segala, barulah idea mengambil gambar dikurniakan Tuhan. Mujur juga lokasi aku menunggu pelajar2 lelaki selesai menunaikan solat Jumaat di Dataran Syahbandar. Dan aku menyangka aku boleh mendabik dada mengakui mengenali Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Jelas aku tidak. Kerana sewaktu aku berkelintar di taman yang menghadap Dataran Syahbandar, aku telah menemui satu pintu pagar agam yang ditepinya berpapan tanda (atau besi tanda?) 'Istana Maziah'. Terkejut juga aku, sangkaku di tengah bandar ini bukan lokasi istana. Atau istana itu bukan tempat kerabat bersemayam? (kerabat pun bersemayamkah? bukan raja sahaja? tak pasti aku). Apa yang pasti, kawasan di dalam pintu pagar itu kelihatan luas. Anggapan aku sahajalah, kerana pintu pagar dan pagarnya juga tinggi.   

Begitulah kalau nama sahaja anak jati Terengganu. Baru minggu lepas itulah aku mengetahui lokasi Istana Maziah, meskipun namanya sudah beberapa kali kudengar. Tapi, namanya pun istana, rakyat biasa sepertiku ini layaknya di pintu pagar sahajalah. 

Post akan datang, jika berkesempatan, akan aku ceritakan lagi apa lagi yang menarik di DS. Bukan istana sahaja yang mencuri perhatianku. (jika ya, bunyinya materialistik sangat) 

Oh ya, hampir terlupa. Hari ini genap -ehem,ehem- usia kekanda sulungku yang tercinta. Semoga dirahmatiNya selalu, dan cepat juga tiba jodohnya! Kerana senang hatimu, bahagia kami adik-adikmu juga. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...